Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) hari ini mengumumkan tajaan bernilai RM200,000 kepada Malaysia Rugby sebagai sokongan kepada skuad kebangsaan lelaki dan wanita ragbi 7s yang dikenali sebagai Bungaraya 7s.
Sokongan kewangan itu adalah untuk membantu dua skuad berkenaan dalam persiapan menghadapi Sukan SEA ke-33 di Thailand pada hujung tahun ini.
Sumbangan tersebut akan digunakan untuk menyokong latihan dan pembangunan kedua-dua pasukan kebangsaan berkenaan. Satu majlis penyerahan tajaan dibuat di Genblu Café HLYM di Sungai Buloh, Selangor sebentar tadi.
HLYM diwakili Pengarah Urusan HLYM, Profesor Datuk Dr. Jim Khor Mun Wei (foto atas kiri) manakala Malaysia Rugby diketuai Presidennya, Amir Amri Mohamad (foto atas kanan).
Jim Khor turut membuat kejutan dengan pengumuman satu menu makanan baharu iaitu BLUngaraya 7’s Chicken yang hanya boleh didapati di Genblu Café di seluruh negara.
Malah sebanyak 7 peratus daripada jumlah keuntungan jualan menu itu akan disalurkan kepada Malaysia Rugby sebagai tanda sokongan berterusan.
Buat masa ini, ada enam kafe Genblu Café dan bilangannya dijangka meningkat kepada 10 premis menjelang hujung tahun ini.
















