Boon Siew Honda mengumumkan sportbike edisi khas iaitu Honda CBR150R Special Edition CyberRoar (2025) akan ditawarkan ke pasaran Malaysia bermula 15 Julai 2025.
Jumlah motosikal Honda CBR150R Special Edition CyberRoar (2025) yang disediakan adalah 250 unit. Harga asas jualan untuk motosikal istimewa ini bermula dari RM14,399 tidak termasuk insurans, cukai jalan dan caj pendaftaran.
Honda CBR150R Special Edition CyberRoar (2025) mengetengahkan skim warna magenta dengan hiasan jalur badan berwarna oren. Di bahagian tengah fairing sisi, ada terpampang imej kepala harimau dalam keadaan mengaum.
Untuk pembeli model edisi khas ini, mereka akan menerima satu set hadiah dengan setiap pembelian yang merangkumi tiga barang iaitu:
- kamera panoramik (Panoramic Sport Camera)
- sistem komunikasi interkom (Intercom)
- beg pemantul cahaya LED (LED Reflective Bag)
Menyentuh aspek spesifikasi Honda CBR150R Special Edition CyberRoar (2025), ia adalah sama seperti model sedia ada di pasaran.
Untuk mereka yang inginkan pilihan lain, Boon Siew Honda masih meneruskan jualan dua skim warna semasa iaitu:
- Honda Tricolor
- Silver
Harga untuk dua versi standard ini bermula dari RM13,399 dan ini tidak termasuk insurans, cukai jalan dan caj pendaftaran.









