kempen keselamatan suzuki - 16

Suzuki Malaysia bersama AFY Mobility Industries (AMI) meneruskan inisiatif memupuk kesedaran keselamatan pengguna motosikal di jalan raya dengan menganjurkan Kempen Keselamatan AMI–Suzuki 2026 di Klang, Selangor semalam.

Dalam kempen itu, ada beberapa perkara menarik boleh dikongsikan bermula dengan tawaran pemeriksaan keselamatan motosikal percuma membabitkan 16-perkara.

Pemeriksaan percuma ke atas motosikal milik orang ramai itu membabitkan komponen penting seperti sistem lampu, brek, tayar, rantai dan tahap kebolehgunaan motosikal secara menyeluruh.

Sebanyak 200 topi keledar dan jaket keselamatan diberikan kepada orang awam yang selesai menjalani pemeriksaan 16 perkara penting dalam kempen tersebut.

Selain itu, topi keledar turut diedarkan kepada 30 orang kanak-kanak berumur empat hingga enam tahun dari Klang. Ini adalah sebahagian usaha memupuk kesedaran keselamatan sejak usia awal.

Tidak melupakan orang dewasa. Topi keledar dan jaket keselamatan turut diserahkan kepada empat orang pengunjung yang hadir sebagai galakan kepada amalan tunggangan selamat.

Pengerusi Eksekutif AMI, Ahmad Faez Yahaya menjelaskan Suzuki Malaysia sebagai pengeluar, pemasang dan pengedar motosikal  turut memastikan setiap produk yang berada di jalan raya mengutamakan aspek keselamatan.

Katanya, model-model baharu Suzuki, AFAZ dan MODA di bawah kumpulan AMI kini dilengkapi dengan sistem lampu LED yang lebih terang, bertujuan meningkatkan tahap keterlihatan serta membantu mengurangkan risiko kemalangan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah (Bahagian Perancangan dan Operasi) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Jazmanie menyatakan statistik yang membimbangkan apabila jumlah pendaftaran kenderaan di Malaysia sudah melebihi jumlah penduduk negara.

Situasi ini menyumbang kepada fenomena kesesakan lalu lintas di merata kawasan serta ruang jalan yang semakin sempit, khususnya di bandar-bandar utama.

Beliau memaklumkan lebih 80 peratus kes kemalangan jalan raya melibatkan penunggang motosikal dan hampir 50 peratus daripadanya terdiri daripada golongan berusia antara 16 hingga 25 tahun.

Menurut beliau, kehilangan golongan muda ini amat menyedihkan kerana mereka merupakan aset dan masa depan negara. Walaupun pelbagai inisiatif telah dilaksanakan oleh kerajaan, aspek kesedaran dan tanggungjawab individu kekal sebagai faktor paling penting, selari dengan tema kempen tahun ini, “Keselamatan Bermula Dengan Kita.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Maaf anda tidak dibenarkan untuk salin (copy) dari laman ini