CFMOTO 675NK sudah dilancarkan semalam ke pasaran Malaysia, menjadikannya model motosikal kedua dilengkapi enjin 3 silinder sebaris daripada jenama China berkenaan.
Model pertama CFMOTO bersama enjin 3 silinder sebaris ialah sportbike CFMOTO 675SR-R yang dilancarkan di Kota Warisan (Selangor) pada petang 1 November 2024.
Apa Anda Perlu Tahu Tentang CFMOTO 675NK (2025)
Sebenarnya, jentera CFMOTO 675SR-R dan CFMOTO 675NK ada banyak persamaan komponen. Pun begitu, kedua-dua model disasarkan kepada kelompok segmen/pembeli berlainan dan ada perbezaan harga asas RM4,000.
Ini perbezaan harga asas untuk:
- CFMOTO 675SR-R – RM37,888
- CFMOTO 675NK – RM33,888
Harga asas ini tidak termasuk insurans, cukai jalan dan caj pendaftaran.
Motosikal CFMOTO 675NK (2025) ini ditawarkan pada harga asas yang dilihat ada potensi mencetuskan saingan sengit dalam segmen naked bike middleweight di Malaysia.
CFMOTO 675NK diperkenalkan di pasaran antarabangsa beberapa bulan selepas kemunculan CFMOTO 675SR-R. Enjin yang ditawarkan untuk pasaran Malaysia adalah versi enjin lebih bertenaga berbanding tetapan enjin mengikut piawaian EURO 5+.
Spesifikasi CFMOTO 675NK (2025)
Enjin yang digunakan pada motosikal CFMOTO 675NK adalah buatan CFMOTO sendiri dan bukan diambil atau disalin (tiru) dari jenama lain (seperti Triumph).
Enjin 3 silinder 675cc DOHC dengan sistem penyejukan cecair itu menghasilkan kuasa 70kW (94hp) @ 11,000rpm dan tork 70Nm @ 8,250rpm.
Transmisi jenis klac manual 6 kelajuan dengan ciri Slipper dan ada Quickshifter sehala (upshift gear). Ada mengatakan kelajuan boleh dicapai CFMOTO 675NK ialah 200 kilometer sejam (km/j).
Rangka (frame) CFMOTO 675NK (2025) sama seperti 675SR-R (2024) yang bermaksud casis tiub keluli dan menerima swing arm (lengan ayun) banana jenis aluminium.
Rim berukuran 17 inci diperbuat menggunakan bahan aluminium aloi dan dibalut tayar jenama CST saiz 120/70 untuk roda depan dan 180/55 untuk roda belakang.
Sistem suspensi untuk CFMOTO 675NK (2025) melibatkan penggunaan fork terbalik (upside down) 41mm boleh laras sepenuhnya. Bahagian belakang menggunakan absober tunggal (monoshock) yang boleh dilaras prabeban dan lantunan. Jarak gerak (travel) suspensi jenama Kayaba depan dan belakang ialah 130mm.
Sistem henti CFMOTO 675NK (2025) membabitkan cakera brek berkembar 300mm untuk roda depan dengan kaliper J.Juan 4 piston. Brek belakang jenis cakera tunggal 240mm kaliper J.Juan piston tunggal.
Brek depan dan belakang dibantu sistem brek antikunci (ABS). Ada sistem kawalan cengkaman (TCS) dua tahap yang boleh diubah tetapan.
Suhu brek depan dikurangkan dengan penggunaan cowl yang membantu menyalur masuk udara ke dalam kawasan brek cakera dan kaliper. Ciri macam digunakan pada jentera lumba MotoGP.
Dimensi motosikal CFMOTO 675NK (2025) ialah 2,020mm panjang, 849mm lebar dan 1,155mm tinggi. Jarak antara roda adalah 1,400mm.
Ketinggian tempat duduk CFMOTO 675NK (2025) pula 810mm dan jarak dari permukaan bumi cuma 150mm.
Berat kasar motosikal CFMOTO 675NK (2025) ialah 189 kilogram dan memiliki tangki minyak sebesar 15 liter.
CFMOTO 675NK (2025) dipasang meter digital TFT 5 inci berwarna dengan T-BOX dan boleh disambung kepada aplikasi CFMOTO Ride App. Ada soket USB Type A dan C.
Sistem lampu CFMOTO 675NK (2025) sudah tentunya jenis LED. Tambahan lain ialah ada sistem pemantauan tekanan angin tayar (TPMS).



































































